Acara Nasi Lemak Terbesar Di Dunia Kini Kembali!

Setelah mendiamkan diri selama setahun, acara makanan paling utama di Malaysia dan juga digelar acara nasi lemak terbesar di dunia, I Eat Nasi Lemak kini kembali! Dibawakan oleh friedchillies.com, sebuah laman sesawang tentang makanan yang telahpun diperkenalkan sejak tahun 1998 oleh FriedChillies Media, ianya akan berlangsung pada 5 November 2016 di TM Convention Centre, Bangsar dari 9am ke 5pm.

Berdasarkan sambutan hangat yang telahpun diberikan pada tahun-tahun sebelumnya, acara kali ini akan menampilkan 40 peniaga nasi lemak terbaik dari seluruh Malaysia di bawah satu bumbung – dan kali ini juga melibatkan lebih ramai peniaga dari luar Lembah Klang iaitu dari Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang dan Perak.

Para peniaga yang mengambil bahagian adalah di antara mereka yang dipilih khas melalui proses teratur dan ketat oleh pakar dan peminat tegar nasi lemak di FriedChillies sejak awal tahun 2016. Di antara hero-hero nasi lemak dari luar Kuala Lumpur yang perlu diberi perhatian tahun ini adalah Nasi Lemak Ujong Pasir dari Melaka, Nasi Lemak Habib dari Batu Pahat (khusus di dalam penyediaan nasi lemak ‘sup tauhu’), Nasi Lemak Wak Kentut dari Kulai yang amat terkenal dengan ayam gorengnya, Nasi Lemak Cik Pah Corner dari Batang Berjuntai dan Nasi Lemak Pendekar Mustar dari Pulau Pinang.

I Eat Nasi Lemak 2016

Bersama-sama mereka adalah hero-hero nasi lemak ini iaitu Nasi Lemak Village Park dan Nasi Lemak Tanglin berserta hero-hero baru dari sekitar Lembah Kelang yang dicadangkan sendiri oleh pembaca dan peminat laman friedchillies.com. Ini termasuklah Nasi Lemak Sinarnor, Nasi Lemak EK dan Nasi Lemak Lesung Batu, kesemuanya tampil dengan rasa yang unik dan tersendiri. Pertandingan makan nasi lemak yang terbukti amat popular pada tahun-tahun sebelum ini dengan kategori ‘sambal terpedas, makan terpantas’ juga akan menemui para pengunjung dan terbuka untuk penyertaan awam.

“Pada tahun 2013 kami bermula dengan 10 peniaga dan nombor ini meningkat ke 20 pada tahun 2014. Juga pada tahun 2014, acara I Eat Nasi Lemak mencatat rekod sebagai acara berbentuk makanan tanpa henti selama 8 jam terus menerus, dan berjaya menarik lebih 15,000 peminat nasi lemak yang telah menyapu licin lebih 25,000 pinggan nasi lemak termasuk lauk-pauk yang disediakan. Tahun ini, dengan peningkatan jumlah peniaga, ia membuktikan betapa popularnya juadah kebangsaan ini dan juga satu cara untuk kita menghormati para peniaga nasi lemak yang telah saban hari bertungkus lumus menyediakan hanya yang terbaik untuk para pelanggan mereka,” kata Adly Rizal, Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies.

I Eat Nasi Lemak 2016

Tahun ini, badan kebajikan yang disokong oleh I Eat Nasi Lemak adalah The Nasi Lemak Project (TNLP). TLNP ditubuhkan pada tahun 2012 dan objektif utamanya adalah untuk membantu keluarga miskin dalam bandar untuk bekerja seterusnya mampu menyara ahli-ahli keluarga dengan berniaga nasi lemak. “Kami merasakan idea bahawa sesebuah keluarga yang menghadapi masalah kewangan dapat dikeluarkan dari kedaifan dengan kerja keras dan kuasa nasi lemak yang dijualnya, adalah idea yang sangat hebat” komen Adly selanjutnya. TLNP menganjurkan latihan pengurusan makanan dan perniagaan mikro asas yang dapat menggandakan pendapatan keluarga yang kurang berkemampuan.

I Eat Nasi Lemak akan mengekalkan sistem kupon sebagaimana yang sering dilihat di ‘Hari Kantin’ sekolah. Para pengunjung boleh membeli kupon dan menukarnya untuk pembelian nasi lemak serta lauk-pauk dan minuman. Buku-buku kupon boleh dibeli awal dengan menghubungi friedchillies.com atau boleh dibeli pada hari acara berlangsung.

Jangan ketinggalan! BAWA BERTENANG DAN MAKAN NASI LEMAK!

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Honey Ahmad (012 515 1111) atau Hazo (019 367 6319)

Untuk pembelian kupon, sila hubungi:
Meen (03 7710 6809) dari 10am ke 5pm.

I Eat Nasi Lemak 2016